Jagaan Semasa Hamil

Jagaan semasa mengandung merupakan khidmat yang diberi kepada ibu mengandung sebaik sahaja disahkan hamil. Khidmat tersebut meliputi lawatan berjadual secara berkala ke klinik, penilaian berterusan ke atas tumbesaran janin dan mengenalpasti faktor-faktor risiko yang mungkin wujud.Ia bertujuan untuk memastikan ibu dan bayi yang dikandung itu sentiasa berada dalam keadaan sihat. Bagi ibu-ibu yang mempunyai faktor risiko yang minima, seorang doktor, jururawat atau bidan sudah cukup untuk memberi sebahagian besar dari khidmat jagaan ini, samaada dari Klinik Masyarakat, Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak, klinik swasta atau Klinik Pakar Obstetrik dan Ginekologi di hospital karajaan atau swasta sekalipun.

Pada lawatan pertama, sejarah atau latar belakang anda akan diambil sepenuhnya. Pemeriksaan fizikal akan dilakukan. Beberapa pemeriksaan asas yang rutin akan dibuat. Dari sejarah yang diambil beberapa perkara berikut akan dijalankan:
*Pengiraan jangkaan tarikh kelahiran (EDD) akan dibuat. Bagi wanita yang mempunyai perjalanan haid yang tekal, pengiraan ini adalah berdasarkan kepada kedatangan haid yang terakhir. Anda perlu menyimpan diari kedatangan haid anda dan bawanya ke klinik ketika membuat lawatan yang pertama nanti. Ini sangat penting terutamanya jika kedatangan haid yang tidak menentu.
*Sejarah kehamilan sekarang seperti muntah, kesakitan atau pendarahan.
*Sejarah sakit puan (obstetrik) yang lalu (cth; Tarikh dan tmpt bersalin yg lalu, jangkamasa kehamilan, berat anak yg lahir, adakah bayi tersebut lahir hidup atau mati, permulaan dan jangka masa pelahiran, jenis kelahiran samaada normal, songsang, forceps, vakum atau ceasarean, komplikasi2 yg berkaitan seperti penyakit darah tinggi, pendarahan selepas bersalin dan jenis penyusuan yg diberi.
*Sejarah keluarga yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi atau tibi
*Kewujudan masalah-masalah perubatan sebelum ini
*Sejarah pembedahan yang lalu terutamanya yang melibatkan pangkal rahim atau pernah mengalami D&C (pendilatan dan pengkuretan) sebelum ini.
*Sejarah sosial - seperti merokok, pengambilan dadah (yang diberikan oleh doktor atau yang disalahgunakan) dan alkohol.

Pemeriksaan fizikal seperti ketinggian, berat badan dan tekanan darah selalunya diambil oleh doktor atau jururawat semasa lawatan pertama dibuat. Sebarang bentuk keabnormalan akan direkodkan dan jantung, paru-paru serta payudara akan diperiksa. Pemeriksaan-pemeriksaan lain yang akan dijalankan adalah termasuk pemeriksaan gigi dan gusi kerana penyakit gigi dan gusi ini adalah biasa dan kemungkinan jagaan lanjut diperlukan. Beberapa perkara akan dilakukan di klinik, seperti:

Di setiap lawatan, Berat akan diambil dan purata berat badan seorang ibu mengandung harus meningkat pada kadar 0.5 kg setiap minggu antara minggu ke 15 hingga minggu ke 38. Penambahan berat badan merupakan petanda keseluruhan kesejahteraan ibu dan bayi dalam kandungannya. Tekanan darah juga akan diambil. Sampel air kencing akan diuji untuk mengesan bahan protein dan gula dalam air kencing. Paras hemoglobin juga akan diperiksa setiap bulan. Ibu mengandung digalakkan mengambil pil zat besi dan asid folik tambahan. Anda juga akan ditanya mengenai keadaan kesihatan amnya terutamanya mengenai selera makan, loya, muntah, mabuk hamil, masalah usus yang berkaitan, kesakitan dalam abdomen atau pendarahan melalui faraj. Kaki dan buku lali akan diperiksa untuk melihat samaada wujudnya sembab (bengkak) ataupun tidak yang selalunya disebabkan oleh pembendungan air dan garam. Ini juga menunjukkan adanya masalah lain yang lebih serius seperti penyakit jantung atau buah pinggang, praeklampsia atau anemia yang teruk.

Apabila kehamilan itu meningkat, beberapa perkara menjadi semakin penting. Antaranya ialah pengukuran ketinggian fundus boleh digunakan sebagai panduan untuk menentukan saiz janin dan tumbesarannya, pengiraan palpitasi rahim boleh diguna untuk menentukan Kedudukan janin, presentasi janin seperti songsang, engagemen (apabila kedudukan janin telah menurun ke bahagian pelvis) janin ketika lawatan susulan, serta rahim lebih besar dari tarikhnya dan juga sama ada terdapat lebih dari satu janin. Ini boleh dipastikan melalui pengimbasan ultrasound. Penilaian pergerakan janin boleh digunakan sebagai panduan kasar untuk menentukan keadaan kesihatan janin. Carta gerakan janin atau carta tendangan selalunya digunakan oleh ibu-ibu untuk memantau gerakan janin mereka sendiri. Ibu-ibu boleh mula menggunanya selepas minggu ke 34. Pemeriksaan ultrasound yang bersiri perlu dilakukan untuk ibu yang berisiko tinggi seperti mereka yang menghadapi masalah perubatan untuk memantau tumbesaran janin mereka. Sebarang pendarahan selepas 28 minggu kehamilan perlu diberi perhatian yang serius dan perlu disiasat untuk memastikan puncanya. Penyebab pendarahan yang berlaku dalam semester ketiga adalah termasuk plasenta previa dan abrupsi plasenta (pautkan ke topik berkenaan). Kedua-dua masalah ini memerlukan rujukan segera kepada pakar untuk rawatan selanjutnya.


Jagaan semasa mengandung yang anda akan terima mungkin dianggap membebankan tetapi ia adalah untuk kebaikan anda bagi mengenalpasti masalah di peringkat lebih awal. Oleh yang demikian, adalah perlu bagi anda untuk membuat lawatan secara berkala seperti yang dinasihatkan. Pemeriksaan yang dibuat secara tekal akan menghasilkan satu kehamilan yang sihat dan menjamin kelahiran yang selamat...

Rujukan : Edaransalindah.com

Comments

Popular Posts