Bayi Songsang

Anamarza
5
Semasa mengandungkan anak kedua, doktor mengesahkan yg kandungan saya adalah songsang selepas discan pada minggu ke-34. Semasa jururawat memeriksa kedudukan bayi denagn merasa menggunakan tangan mereka tidak dapat memastikan kedudukan sebenar bayi pada waktu itu. Disebabkan bayi saya songsang jenis kaki lurus ke kepala (frank breech) dan menghala keatas, jadi saya dapat merasakan tendangan dibahagian atas rusuk kiri saya, sebab itulah tak terfikir bayi dalam keadaan songsang. Pada waktu inilah terasa begitu pentingnya lawatan berkala ke klinik dan pentingnya teknologi ultrasound. Pengetahuan seorang bakal ibu berkaitan kedudukan bayi songsang juga penting bagi persediaan menghadapi apa jua situasi.


Salah satu tujuan penting pemeriksaan ibu mengandung ialah untuk mengesan kedudukan janin. Lebih 90% bayi dilahirkan dalam kedudukan normal iaitu kepala keluar dahulu. hanya sebilangan kecil mungkin berkedudukan luar biasa sama ada songsang (breech) atau melintang (tranverse lie). Pada peringkat awal kehamilan, adalah biasa sekiranya kedudukan bayi tidak stabil dan sentiasa berubah-ubah atau berpusing-pusing di dalam kelongsong kandungan yanng dipenuhi cecair amnion.

Apabila mencapai 8 bulan atau 34 minggu kehamilan, barulah bayi akan berkedudukan tetap iaitu kepala ke bawah menghala ke arah pintu rahim dan saluran peranakan. Hanya sebilangan kecil sahaja yang berkedudukan luar biasa sehingga saat tiba untuk dilahirkan. bayi songsang akan menyebabkan punggung atau kaki keluar dahulu. Risikonya, kerumitan ini boleh merosakkan otak dan saraf bayi akibat kekurangan oksigen dan boleh membawa kepada kematian.


Semua jenis kedudukan yang luar biasa mungkin menandakan sesuatu masalah sama ada pada ibu atau pada bayi. Janin dalam kedudukan luar biasa ini akan mengalami risiko lebih tinggi berbanding dengan janin dalam kedudukan normal. Begitu juga dengan kadar kematian bayi adalah lebih tinggi di kalangan janin songsang. Untuk mengatasinya, adalah sangat penting kedudukan janin dikesan serta disahkan normal ataupun tidak sebelum ibu melahirkan anaknya. Punca kedudukan luar biasa juga penting diketahui kerana ini mungkin disebabkan oleh sesuatu penyakit. Untuk mengatasi sebarang masalah kecederaan atau kematian sama ada bayi atau ibunya, janin songsang ini perlu dilahirkan secara pembedahan sesarean kerana ini lebih baik dan lebih selamat.

Kakitangan perubatan yang terlatih khususnya doktor pakar perbidanan atau doktor perubatan serta bidan terlatih boleh mengesan masalah kedudukan janin di peringkat tujuh hingga lapan bulan. Kadangkala timbul juga masalah dalam memastikan kedudukan janin dengan hanya merasa perut dengan tangan. Kesukaran ini mungkin disebabkan oleh wanita tersebut terlalu gemuk, khususnya pada bahagian perut atau ibu yang mengalami masalah terlalu banyak air dalam kandungan. Menentukan kedudukan janin banyak bergantung kepada kemahiran dan pengalaman kakitangan perubatan atau bidan yang memeriksa. Walaupun demikian, adakalanya orang yang mahir dan berpengalaman pun masih membuat kesilapan dan tidak dapat mengesan kedudukan janin yang sebenar. Jika timbul sesuatu keraguan mengenai kedudukannya, lebih baik menggunakan cara lain.

Hari ini satu cara yang kerap digunakan untuk menentukan kedudukan janin dalam kes yang meragukan ialah dengan menggunakan ultrasound. Pemeriksaan cara ini sangat selamat dan tidak ada bahaya bahangan atau radiation. Pemeriksaan ini juga memberi maklumat lain yang agak penting mengenai janin seperti degupan jantungnya, kedudukan uri dan alat ini juga boleh mengesan beberapa jenis kecacatan pada bayi.

Sesetengah kedudukan songsang tidak ada sebab yang nyata. Kita terus tidak mengetahui apa puncanya walaupun berbagai-bagai cara dilakukan untuk mengesannya. Keadaan ini mungkin timbul dari pihak ibu atau janin itu sendiri ataupun kedudukan uri yang luar biasa. Ibu yang telah banyak kali melahirkan anak lebih kerap mengalami masalah ini kerana otot-otot di bahagian rahim dan perut menjadi kendur. Keadaan in juga boleh berlaku akibat keganjilan bentuk rahim yang mungkin telah wujud secara semulajadi. Boleh jadi juga ada ketumbuhan dalam rahim seperti fibroid atau ketumbuhan di kilang ovari, atau tulang rongga punggung ibu terlalu sempit. Janin pula mungkin mengalami masalah timbunan air dalam otak atau hydrocephalus, janin tanpa otak atau anencephalus, janin kembar, sama ada kembar biasa atau kembar siam. Kedudukan luar biasa janin juga mungkin disebabkan oleh kedudukan uri tidak normal. Biasanya, uri terletak di belakang janin, tetapi kadang-kala berlaku uri terletak di hadapan janin yang dikenal sebagai placenta praevia. Keadan ini sangat bahaya kerana ia boleh menyebabkan tumpah darah yang banyak dan janin tidak boleh langsung dilahirkan secara normal kerana uri menyekat saluran peranakan.

Untuk mengetahui punca kedudukan janin tidak normal ini beberapa pemeriksaan dan ujian mungkin dilakukan. Pemeriksaan ini termasuklah pemeriksaan kemaluan untuk menentukan keadaan rongga tulang punggung, disusuli dengan pemeriksaan X-ray pelvimetry untuk menentukan sama ada saluran rongga punggung sempit atau tidak. Ujian ultrasound juga penting dilakukan untuk mengesan kedudukan uri, ketumbuhan dalam rahim dan kecacatan janin.

Terdapat satu kaedah iaitu ECV bagi memusingkan kedudukan bayi ke kedudukan yang betul. Walaupun pada keseluruhannya memusingkan kedudukan janin songsang adalah selamat jika di lakukan dengan teliti oleh orang yang mahir dalam bidang ini, namun terdapat juga beberapa bahaya yang mungkin timbul akibat perbuatan itu. Antaranya ialah berlaku premature labour atau kelahiran sebelum waktunya, tumpah darah, kematian janin dalam rahim atau kecederaan pada rahim. Dengan adanya kemungkinan risiko tersebut, kini ramai doktor pakar pebidanan teragak-agak atau tidak setuju langsung memusingkan kepala janin. Ada juga yang percaya jika janin itu dipusingkan ada kemungkinan ia akan berpusing balik kepada kedudukan songsangnya. Janin mungkin akan lahir cara biasa setelah berpusing sendiri kepada kedudukan normal di saat-saat terakhir sebelum lahir.

Sebahagian besar janin dalam kedudukan songsang boleh lahir dengan cara spontan tanpa pembedahan. Doktor akan menilai dengan teliti sama ada janin itu terlalu besar atau rongga punggung ibu boleh memuatkan kelahiran bayi. Walaupun demikian, bagi janin yang kedudukannya songsang, kelahiran secara pembedahan sesarean mungkin dilakukan. Pembedahan dilakukan apabila anak terlalu besar dan saluran rongga punggung ibu sempit khususnya jika kandungan itu sulung dan ibu bermasalah seperti berpenyakit darah tinggi atau kencing manis. Bagi ibu yang mengalami kehamilan melintang kerana kedudukan uri di hadapannya, tidak ada jalan lain untuk melahirkan anak selain dibedah sahaja. Ibu ini perlu dimasukkan ke hospital lebih awal daripada tarikh yang dijangkakan lahir; biasanya satu atau dua minggu sebelumnya. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang masalah bersalin di rumah. Ada kemungkinan tali pusat atau tangan bayi akan terkeluar dahulu. Kedua-dua kejadian ini akan menyebabkan kematian janin dalam rahim melainkan pertolongan cemas secara pembedahan diberikan dengan segera.

Oleh itu, setiap ibu yang mengandung khususnya mereka yang telah melaluinya beberapa kali perlu mendapat jagaan waktu mengandung dan pemeriksaan sejak awal lagi. Di peringkat tujuh hingga lapan bulan pula, pemeriksaan sangat penting untuk menentukan kedudukannya. Jika didapati kedudukan janin luar biasa, janganlah tergesa-gesa menemui bidan atau pengamal perubatan tradisional untuk memusingkan kedudukannya. Nasihat dan rawatan sewajarnya dari doktor pakar perbidanan adalah penting dalam hal ini. Akhirnya jika dinasihatkan oleh doktor menjalani pembedahan kerana kedudukan janin luar biasa ini, janganlah sekali-kali membantah kerana ia adalah untuk kebaikan diri ibu dan juga anak yang dikandungnya.
Tags

Post a Comment

5Comments

  1. Saya eza..skrg tgh mengandung 37mggu..& didapati bayi Frank Breech.. EDD asal 28/12/10..pihak hospital dh memberitahu sy akan ceaser pada 16/12/10..tidak kah terlalu lewat utk sy ceaser pada ketika itu? saya amat risau apa akan terjadi pada bayi songsang..apakah risiko sekiranya ceaser..

    ReplyDelete
  2. salam,sy sgt suka bca entry ni...very informative..tgh cri2 info utk tlg kwn yg kand nya breech..tq,ye

    jemput jenguk n follow blog sy:)

    http://theqas.blogspot.com/

    tq

    ReplyDelete
  3. usia.kandungan sy baru masuk 29mggu.hari ni nurse buat checkup kat rmh n bgtau kdudukan janin sy mlintang,i'm worried tp menurutnya jgn tlu rsu coz mgkin dia bleh bgrak pd kdudukn yg btul.ini adlh ank kdua sy,smg smuanya ok,ada x yg kes cam sy?...

    ReplyDelete
  4. Salam..usia kndungan sy dh 37mggu..tggl lg brape mggu utk bsalin..mslhnye skrg kdudukn ank sy msh lg songsang..ni yg buat sy rase sgt riso..sy arap baby sy akn bpusing ke bwh..doakn klahiran ank sulung sy ni..amin..

    ReplyDelete
Post a Comment