Garcinia Cambogia / Asam Gelugur Boleh Menguruskan Badan!

Anamarza
0
Dalam masyarat melayu Buah Asam Gelugur bukan lah sesuatu yang asing terutama dalam masakan samaada sebagai bahan perisa atau dijadikan bahan untuk menghilangkan rasa dan bau hanyir pada ikan atau daging . Sesiapa yang biasa ke dapur pasti kenal dengan Asam gelugur kan? Mungkin ada yang cukup familiar dengan asam gelugur, namun tidak kenal bagaimana rupa Buah Asam Gelugur.

Tapi rasanya generasi muda ada yang tidak kenal langsung dengan asam gelugur apatah lagi buah asam gelugur, betul tak?

Kalau ada yang kenal pun, dek kerana sekarang ni tengah naik produk berasaskan buah asam gelugur atau Garcinia Cambogia yang mana, Garcinia Cambogia ni dikatakan mampu mengurangkan berat badan.



Persoalannya Benarkah Garcinia Cambogia Mampu Menguruskan Badan?

Satu artikel yang ditulis oleh saudara Mohd Dziehan Mustapa iaitu Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Farmasi yang disiarkan di Laman Facebook KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA, telah menjawab persoalan ini. 

Antara intipati artikel tersebut ialah:
  • Antara produk suplimen kesihatan yang semakin popular pada masa kini yang digembar-gemburkan mampu membakar lemak serta mengurangkan berat badan adalah produk berunsurkan Garcinia Cambogia atau dikenali juga dengan nama tempatannya iaitu Buah Asam Gelugur.
  • Nilai perubatan yang diketahui melalui kajian saintifik dunia barat mendapati Garcinia Cambogia mengandungi Asid Hidroksi-Sitrik (Hydroxy-Citric Acid; HCA). HCA dipercayai bertindak sebagai bahan yang boleh mengurangkan berat badan dan bahan yang boleh merencat nafsu makan.
  • Bahan aktif HCA ini diekstrak daripada kulit Garcinia Cambogia. Kajian saintifik telah membuktikan HCA mengurangkan aktiviti penting enzim ATP-citrate lyase yang terlibat dalam metabolisma lemak. HCA juga akan meningkatkan penghasilan hormon sorotonin di otak. Peningkatan jumlah serotonin di otak menyebabkan seseorang itu kurang berasa lapar atau merencat nafsu makan.
  • Garcinia Cambogia juga dikaitkan dengan khasiat perubatan dalam mengawal paras kolesterol tubuh dan mengawal keseimbangan gula dalam badan. Bagi perubatan tradisional air rebusan buah asam gelugur juga dipercayai boleh mempercepatkan mengecutan rahim semasa proses berpantang, menyembuhkan sakit telinga dan mampu melegakan kesakitan gusi melalui kumuran air rebusan dan tampalan hirisan buah asam gelugur di celah gusi dan bahagian dalam pipi.

Pembuktian Kajian Klinikal
  • Sejak 18 tahun dahulu, Garcinia Cambogia telah dikaji khasiatnya dalam mengurangkan berat badan. Walau bagaimanapun, hasil daripada beberapa kajian klinikal ke atas manusia menunjukkan keputusan yang pelbagai berkaitan kesan Garcinia Cambogia ini dalam mengurangkan berat badan.
  • Terdapat sebuah kajian klinikal pada tahun 1998 yang melibatkan 135 orang peserta dibahagikan kepada dua kumpulan secara rawak iaitu kumpulan yang menerima plasebo (tidak mengandungi Garcinia Cambogia) dan kumpulan yang menerima ekstrak 3000mg Garcinia Cambogia (150mg HCA) selama 12 minggu. Hasil daripada kajian klinikal ini menunjukkan tiada kesan dalam penurunan berat badan antara kumpulan peserta yang menerima plasebo dengan kumpulan peserta yang menerima suplemen yang mengandungi HCA.
  • Pada tahun 2011 pula, terdapat sebuah kajian yang mengumpulkan hasil daripada 12 kajian klinikal lain berkaitan kesan Garcinia Cambogia dalam mengurangkan berat badan memberi kesimpulan bahawa kesan penurunan berat badan yang di tunjukkan oleh esktrak Garcinia Cambogia tidak ketara. Hasil kajian ini menunjukkan cuma 0.88kg atau 1% sahaja perbezaan penurunan berat badan dapat dilihat dalam kumpulan peserta kajian yang menerima ekstrak Garcinia Cambogia berbanding dengan kumpulan peserta yang menerima plasebo.
  • Kesan terhadap penurunan paras kolesterol tubuh juga gagal dibuktikan dalam kajian klinikal yang telah dijalankan. Dalam kajian ini, peserta kajian diberikan suplemen Garcinia Cambogia untuk diambil selama 60hari. Hasil kajian menunjukkan tiada perbezaan ketara terhadap paras kolesterol tidak baik (LDL) mahupun paras kolesterol baik (HDL) dalam tubuh.
  • Beberapa kajian klinikal berskala kecil juga dijalankan bagi melihat kesan Garcinia Cambogia terhadap penurunan paras gula atau boleh mempengaruhi paras insulin dalam darah. Hasil kajian tersebut sekali lagi gagal menunjukkan sebarang perbezaan bererti yang boleh menyokong kuat kesan Garcinia Cambogia terhadap kawalan keseimbangan gula dalam darah.

Kesan Sampingan
  • Sejak sekian lama, buah asam gelugur telah digunakan dalam masakan. Justeru secara umum Garcinia Cambogia tidak memberi kesan sampingan yang serious kepada pengguna. 
  • Kajian terhadap haiwan dan manusia tidak menunjukkan sebarang kesan adverse yang serius atau kesan toksik terhadap hati pada dos yang bersesuaian (2.8mg HCA dalam sehari). 
  • Walau bagaimanapun kesan sampingan ringan seperti pening, mulut kering, kepala pusing, sakit perut atau cirit birit mungkin akan dialami oleh sesetengah individu yang mengambil Garcinia Cambogia ini.
  • Terdapat beberapa kes melibatkan kesan toksik pada hati dilihat hasil daripada pengambilan produk yang mengandungi campuran bahan-bahan lain termasuk Garcinia Cambogia. 
  • Justeru, agak sukar untuk mengkaitkan punca kesan toksik terhadap hati adalah berpunca daripada HCA yang terkandung dalam Garcinia Cambogia kerana ia mungkin boleh disebabkan oleh bahan-bahan campuran lain yang ada dalam produk tersebut.

Nasihat Buat Pengguna
  • Pengguna yang menggunakan produk suplemen kesihatan yang mengandungi Garcinia Cambogia perlu berhati-hati kerana ia berkemungkinan mempunyai interaksi dengan ubat-ubatan. Antara ubat-ubatan yang berkemungkinan mempunyai interaksi dengan Garcinia Cambogia adalah ubat-ubatan dalam rawatan asma, ubat kencing manis termasuk insulin, ubat suplemen zat besi dalam rawatan kekurangan sel darah merah, ubat tahan sakit, ubat dalam rawatan psikiatrik, ubat daripada kumpulan statin untuk rawatan menurunan paras kolesterol dan ubat warfarin untuk mencairkan darah.
  • Untuk para ibu yang mengandung atau menyusukan bayi dan pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang dinasihatkan agar tidak mengambil suplemen yang mengandungi Garcinia Cambogia ini.
  • Oleh kerana Garcinia Cambogia banyak didapati sebagai bahan yang dicampur dalam produk suplemen untuk membakar lemak seperti minuman berbentuk tepung campuran, maka pengguna harus berhati-hati terutama berkaitan kesan penurunan berat badan yang ketara kerana ditakuti produk tersebut dicemar palsu dengan bahan terlarang seperti Sibutramine. Ini adalah kerana melalui pembuktian kajian klinikal terhadap Garcinia Cambogia tidak menunjukkan keputusan yang ketara dalam penurunan berat badan.
  • Bagi produk suplemen kesihatan Garcinia Cambogia dalam bentuk dos farmaseutikal seperti kapsul atau tablet, pastikan ia berdaftar dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Perkara ini penting agar aspek kualiti dan keselamatan produk berkaitan terjamin setelah dikaji dan dianalisa dalam makmal sebelum berada dalam pasaran. Selain daripada itu, produk yang berdaftar dengan KKM juga akan melalui proses pemantauan pasca pendaftaran agar kesahihan dan keselamatan produk dapat terus dijamin walaupun selepas produk melepasi proses pendaftaran dan telah berada dalam pasaran.

Kesimpulannya


Hasil beberapa kajian klinikal dalam pembuktian khasiat perubatan Garcinia Cambogia menunjukkan keputusan yang pelbagai. Ada kajian yang berjaya membuktikan khasiatnya dalam penurunan berat badan namun terdapat juga kajian klinikal yang gagal membuktikan penurunan berat badan yang ketara. Terpulang kepada pengguna sendiri untuk menilai sama ada berbaloi atau sebaliknya untuk membeli produk yang mengandungi Garcinia Cambogia ini.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)