Siakap Stim Lemon; suka versi pedas masam

Anamarza
0
Dah lama teringin nak buat ikan masak stim/ kukus. Tapi sebab risau tak de sambutan kat rumah ni, pendam la jugak hasrat nak membuatnya tu. Akhirnya sebab dah agak bosan asyik-asyik masak cara yang sama, so ambil langkah "berani" buat jugak ikan masak kukus ni. Nasib baik la penghuni rumah ni boleh terima masakan stim camni.


Cuma big boss kat rumah ni komplain kalau pedas sikit lagi layan makan. Okey la memang diakui kalau ikan kukus ni seimbang rasa masam dan pedasnya tu lebih sedap. Tapi sebab memikirkan anak-anak tak tahan pedas, tu yang tak letak banyak lada. Tapi kalau nak pedas tu still boleh, cuma kena picit-picit sikit la lada yang sedia ada dalam tu.


Jangan pelik tau kalau ikan siakap saya ni dipotong dua, tu gara-gara pengukus kecik tak muat kepanjangan ikan tu. Nasib la rupa tak berapa sempurna pun, janji menu ni habis licin.

Okey la untuk resipi boleh rujuk seperti dibawah ya.

Ikan Siakap Stim Lemon
Sumber : Diari Seorang Suri Yang Bekerja Dari Rumah

Bahan-bahan yang diperlukan :
  • 1 ekor ikan siakap - bersihkan
  • 3 ikat serai *mayang halus-halus
  • 2 biji cili merah besar  *mayang halus _ ganti dengan cili padi dalam 7 biji
  • 3cm halia muda (nak guna halia tua pon boleh cuma halia muda ni lagi sedap rasanya kalau tergigit pon) *mayang halus
  • 1 labu bawang putih *mayang halus
  • 2-3 biji bawang merah *mayang halus
  • 2 biji tomato (dibelah empat atau kalau nak hiris halus-halus pon boleh juga)
  • 1 batang lobak merah (dipotong bulat-bulat)
  • 3 labu bawang jeruk (dibelah dua)- tak letak sebab tak de
  • 1 biji lemon * hiris nipis
  • 2 sudu sos tiram
  • garam, gula 
Cara-cara untuk membuatnya pula :

* Menggunakan Pengukus
  1. Panaskan pengukus.
  2. Bahagi 2 kesemua bahan , untuk diletakkan dibahagian bawah ikan dan atas ikan
  3. Kukus / stim ikan sehingga masak. Lebih kurang 10 - 15 minit
  4. Sedia untuk dihidangkan

* Menggunakan kuali
  1. Dalam kuali tu masukkan terus ikan dan segala bahan yang telah dihiris.
  2. Masukkan air (agak-agaklah kan, jangan banyak sangat sebab nanti bukan stim namanya tapi dah jadi singgang)
  3. Masukkan siap-siap perisa seperti sos tiram, garam, gula dan juga lada sulah (lada sulah ni sebenarnya pilihan tetapi entahlah sejak dua menjak ni suka pula kalau ada rasa lada sulah)
  4. Buka api dan tutup kuali, bila nampak macam ikan di bahagian bawah dah masak, balikkan pula
  5. Stim ni jangan lama sangat sebab dikhuatiri isi ikan akan hancur jadinya masak dalam 10-15 minit sahaja (atau bila dah tengok ikan dah masak)
  6. Bila dah rasa cukup rasa masam, manis, masin dan pedas tu, bolehlah hidangkan.

Nota Jejari : Selamat mencuba

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)