SKYLINE AL TAQWA tidak berdaftar

Anamarza
0
Lagi produk yang dilaporkan sebagai produk tidak berdaftar dan menggunakan nombor pendaftaran produk palsu. ( ie; nombor pendaftaran produk yang dicetak pada produk tersebut adalah palsu dan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ). Produk yang dimaksudkan merupakan produk yang dijual sebagai ubat tradisional dari Madinah , Saudi Arabia iaitu :
1. Skyline Al Taqwa Gaut Asam Urat
2. Skyline Al Taqwa Sakit Pinggang & Lutut

Adalah dinasihatkan agar kita tidak membeli atau menggunakan kedua-dua produk diatas.

Keterangan Produk seperti dibawah :



Hasil ujian yang telah dilakukan oleh BPFK mendapati kedua-dua produk ini mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952. Label pada produk-produk tersebut menyatakan bahawa ia boleh digunakan untuk pelbagai masalah kesihatan seperti sakit sendi tulang, sakit urat, penat, tangan bengkak, lemah tenaga, angin dalam urat, kebas tapak kaki dan lumpuh.

Dexamethasone adalah sejenis kortikosteroid yang poten dan ia digunakan untuk rawatan masalah pembengkakan dan radang yang serius. Ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi dari farmasi dengan preskripsi doktor. Dexamethasone tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional.

Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma. Pesakit juga boleh mengalami sindrom cushing yang dicirikan dengan muka membulat (round face) dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil. Kesan advers psikiatri seperti euforia, depresi dan psikosis juga didokumenkan untuk dexamethasone.

Kepada sesiapa yang sedang menggunakan produk-produk Skyline Al Taqwa adalah dinasihatkan supaya SEGERA mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan untuk tindakan selanjutnya. Pengguna yang telah mengambil produk ini untuk jangkamasa yang lama dinasihatkan supaya tidak memberhentikan penggunaannya dengan secara mendadak kerana ini boleh menyebabkan masalah sindrom sarak (withdrawal syndrome) steroid yang serius seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan.





Sebarang pertanyaan berkaitan 2 produk diatas atau apa jua produk yang kalian curiga akan status nombor pendaftarannya, kalian boleh hubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 / 03-78835400 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my


Nota Jejari : Semak sebelum guna
Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)