Makanan Pelengkap : Adakah Bayi Anda Sudah Bersedia?

Anamarza
0
Memulakan makanan pelengkap merupakan cabaran buat anda dan bayi anda. Anda juga mungkin turut merasa tekanan daripada orang tua atau kawan-kawan yang meminta anda memberi makanan pejal kepada bayi anda sebelum umur yang sepatutnya.

Tanda-tanda Bayi Anda Sudah Bersedia

Jika bayi anda telah mencapai umur empat bulan (bayi menyusu susu formula) dan enam bulan (bagi bayi menyusu susu ibu secara eksklusif) dan mempunyai tanda-tanda berikut, maka anda bolehlah mula memberinya makanan pejal :
  • Kepala bayi tegak dan tidak bergoyang ketika dalam keadaan badannya tegak.
  • Boleh duduk dengan sedikit sokongan daripada orang dewasa.
  • Berat badannya sekurang-kurangnya dua kali ganda daripada berat lahirnya.
  • Menunjukkan tanda-tanda lapar walaupun telah disusukan lapan hingga sepuluh kali.
  • Menunjukkan minat terhadap makanan yang dimakan oleh orang dewasa.
  • Bayi anda juga mungkin akan cuba untuk mencapai makanan yang sedang anda makan.
  • Tidak menolak dengan lidah atau meluahkan makanan yang disuapkan ke mulutnya.
  • Boleh mengunyah dan menelan dengan baik makanan yang disuapkan.
  • Bayi boleh memegang makanan dengan tangannya.


Kenapa Perlu Tunggu?

Kebaikan Untuk Bayi :
  • Sistem penghadaman bayi yang berusia kurang enam bulan belum matang dan dia tidak dapat menghadam makanan dengan sempurna menyebabkan masalah seperti bayi muntah, sembelit dan juga cirit-birit.
  • Lebih awal bayi diperkenalkan dengan makanan lain selain daripada susu ibu, lebih mudah bayi tersebut berkemungkinan mendapat alahan atau alergi terhadap makanan tersebut.
  • Penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan dapat mengurangkan risiko gastrointestinal, pernafasan dan jangkitan telinga pada bayi.
  • Bayi yang berusia lebih enam bulan dapat mengambil bahagian secara lebih aktif semasa makan seperti mencapai makanan jika masih mahu makan atau berpaling jika sudah kenyang.
  • Makanan pejal akan mengurangkan jumlah susu yang bayi ambil.
  • Bayi yang makan makanan pejal terlalu awal mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menjadi gemuk apabila besar nanti berbanding dengan bayi yang memulakan makanan pejal pada masa yang sesuai.
  • Menyuap makanan pejal kepada bayi yang belum duduk adalah lebih sukar dan kadang-kadang mengecewakan bayi dan anda sendiri.

Kebaikan Untuk Ibu Yang Menyusu:
  • Ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif lebih lama akan mudah menurunkan berat badan.
  • Cara semulajadi untuk menjarakkan kelahiran kerana haid datang lebih lambat.
  • Bekalan susu ibu yang lebih stabil.

Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)