Jus Buah untuk Bayi.. Boleh ke? Berapa banyak?
Walaupun jus buah-buahan mempunyai beberapa kebaikan jika disertakan di dalam diet bayi, ada beberapa perkara yang harus diperhatikan jika anda ingin memberi jus buah-buahan kepada bayi anda.
- Buat sendiri jus buah-buahan untuk bayi. Elakkan membeli jus yang dijual kerana kebanyakannya mempunyai kandungan gula dan pengawet.
- Jangan campurkan gula di dalam jus buah-buahan bayi anda.
- Beri bayi minum jus dalam cawan, bukan botol susu. Botol susu hanya untuk susu atau air kosong. Ini akan mengurangkan masalah kerosakan gigi.
- Cairkan jus dengan satu bahagian jus dicampur sepuluh bahagian air yang telah dimasak.
- Jangan beri bayi minum jus sebelum makan. Ini akan menyebabkan bayi kurang makan seterusnya kekurangan zat yang diperlukan untuk tumbesaran. Kekurangan zat makanan seterusnya akan menyebabkan badan bayi tidak dapat menyerap karbohidrat dengan baik.
- Jangan berikan lebih daripada empat hingga enam auns jus sehari (bersamaan dengan satu hidangan buah-buahan).
- Jus yang diambil dalam kuantiti yang berlebihan bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan gigi tetapi juga cirit-birit, angin dan perut bayi juga mungkin rasa tidak selesa.
- Cara yang lebih baik untuk membuatkan bayi mendapat khasiat daripada buah adalah dengan memberinya buah itu tanpa dijadikan jus. Lagipun jus buah mengandungi amat kurang fiber berbanding dengan buah itu sendiri.
- Alternatif yang lebih baik (dan lebih murah, dan lebih mudah) selain daripada jus adalah memberi bayi anda air kosong. Jika bayi telah menyukai rasa jus, agak sukar untuk dia minum air kosong kerana rasa jus yang manis amat disukai bayi.
Comments
Post a Comment