Tido la sayang...

Anamarza
0
Pemahaman dan pengetahuan yang secukupnya tentang tabiat tidur bayi dan kanak-kanak amat penting, memandangkan dua pertiga daripada kehidupan seharian mereka ialah waktu tidur. Bayi memerlukan tidur sekurang-kurangnya 18 jam sehari bagi memastikan tumbesaran sempurna bagi tubuh dan perkembangan minda. Bayi yang tidur dengan sempurna akan membesar dengan lebih baik secara sosial, kognitif dan fizikal. Dalam erti kata lain, tidur yang cukup dan berkualiti akan menjadikan bayi lebih sihat dan gembira.

Adalah sesuatu yang normal bagi bayi terjaga pada waktu malam. Ibu tidak perlu panik dan terus bangun kerana bayi sebenarnya hanya terjaga untuk seketika dan akan tidur semula dengan sendirinya. Kebanyakan bayi akan bangun setiap dua atau tiga jam setiap malam untuk menyusu badan. Keperluan untuk mereka bangun pada waktu malam akan berkurangan selepas usia mereka mencecah enam bulan.
Bayi baru lahir hingga usia 3 bulan
Tidur malam bagi bayi baru lahir hingga usia 3 bulan ialah antara 9 sehingga 12 jam sehari dan mereka boleh tidur lama sehingga empat jam, sehingga tempoh penyusuan berikutnya. Bayi dalam lingkungan usia ini juga memerlukan tidur antara 16 hingga 20 jam sehari dalam jangka masa antara satu setengah jam hingga lima atau enam jam setiap kali pada siang hari. Ketika ini, waktu makan dan tidurnya akan bersilang. Ada bayi yang tidur sepanjang malam apabila mereka berusia empat atau enam minggu tetapi itu bukan kebiasaannya.

Bayi 3 bulan hingga usia 1 tahun
Pada peringkat usia 3 bulan hingga 1 tahun, bayi tidur sebentar pada waktu siang iaitu antara 2 hingga 4 jam. Bayi akan tidur antara 14 hingga 15 jam secara keseluruhannya. Mereka cenderung untuk tidur antara enam hingga lapan jam pada waktu malam dan akan terjaga sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh waktu itu dan perlu ditenangkan, disusui sebelum dia tidur kembali. Bayi akan tidur sekejap (nap) antara sejam hingga dua jam pada waktu pagi, tengah hari dan petang.

Ketika mencapai usia 9 bulan, 70 hingga 80 peratus bayi ‘tidur sepanjang malam’. Bagaimanapun, kekerapan tidur sebentar sehari berubah dari 3 hingga 4 jam ketika mencapai 3 bulan dan 2 jam pada usia 1 tahun.
Lazimnya pada peringkat usia 3 bulan hingga 1 tahun pola tidur bayi akan mula terbentuk. Perkembangan pada diri bayi seperti sudah boleh duduk, berdiri dan berjalan serta perasaan bimbang berpisah ada kala membuatkan bayi bangun 3 hingga 6 kali ketika tidur waktu malam.
Anak kecil usia 1 tahun hingga usia 3 tahun
Jumlah waktu tidur bagi anak kecil berusia 1 hingga 3 tahun pula ialah antara 12 hingga 13 jam sehari. Ketika mencapai usia 18 bulan, bayi tidak lagi tidur sebentar untuk kali kedua dan didapati, rutin waktu tidur sangat penting. Selalunya mereka tidak lagi tidur sekejap pada waktu pagi. Waktu petang pula mereka juga akan tidur sekejap dan selalunya bertahan untuk tiga jam saja.

Pada peringkat itu masalah tidur adalah normal yang mana 20 hingga 30 peratus anak kecil mengalami sebahagian masalah demikian. Jumlah masa tidur mereka yang diperlukan ialah antara 10 hingga 13 jam tetapi faktor lain selalunya mengganggu kualiti masa tidur mereka seperti menggigau atau sakit gigi.
Tiga hingga 12 tahun
Pada usia ini, tidur sekejap jarang dilakukan dan jangka masa tidur pada waktu malam juga menurun sehingga 12 jam untuk kanak-kanak pra sekolah manakala 10 jam untuk kanak-kanak pra remaja.

Masalah Berkaitan Tidur

Bayi dan anak kecil juga biasa terjaga malam. Ini berlaku membabitkan kaitan tidur yang negatif atau tiada keupayaan menenangkan diri. Apabila berlaku keadaan seperti itu, campur tangan ibu bapa diperlukan untuk membantunya tidu.
Gangguan biasa atau masalah tidur pada bayi antaranya ialah sukar untuk tidur, tidak mahu tidur dan tidak sensitif pada waktu siang atau malam, zon tidur bayi serta tidak cukup tidur sehingga membuatkan mengantuk waktu siang dan mudah meragam. Contoh gangguan biasa tidur pada kanak-kanak ialah berdengkur (mengeluarkan dengkur yang amat kuat memerlukan ibu bapa membawa anak berjumpa doktor), masalah obesiti, genetik tidak normal dan cara pernafasan tidak betul seperti bernafas melalui mulut atau tidur dengan nafas terhenti-henti yang mana boleh mengganggu lena mereka. Malahan tabiat suka berjaga malam kerana menonton televisyen dan sebagainya akan mengganggu ritma tidur dan boleh menyukarkan untuk bangun keesokan hari.
Bagi mengatasi masalah berkenaan, pencegahan dan rawatan perlu dilakukan termasuk jadual tidur, rutin waktu tidur dan ada kala memerlukan penenang diri untuk tidur. Ibu bapa juga perlu menerapkan budaya tidur betul sejak kecil supaya anak anda dapat manfaat ketika kecil dan untuk masa depannya. Jika sekiranya anak bermasalah untuk tidur adalah lebih baik mendapatkan nasihat pakar bagi mengatasi masalah berkenaan.
Kepentingan Rutin Waktu Tidur
Sesetengah ibu suka menetapkan waktu tidur anak-anak, anak-anak ini bijak, sekiranya dia belum mahu tidur maka buat macam mana pun dia tidak akan tidur. Bagaimanapun, bukti klinikal terbaru ditemui mungkin dapat membantu ibu bapa yang ada anak mengalami masalah tidur.

Kajian klinikal itu mendapati, dengan rutin waktu tidur baru yang ringkas dan mudah serta tiada tekanan membolehkan bayi tidur sepanjang malam. Sebagai ibu, kita boleh mempertingkatkan kualiti tidur anak-anak dengan merancang rutin mereka setiap hari. Bayi dan kanak-kanak perlu diberi makan lebih awal, mandi dan seterusnya ditidurkan. Jadi, setelah rutin hidup anak dirancang dengan baik, anak akan tidur dengan sendirinya apabila tiba waktunya.
Kajian itu turut mendapati, rutin sokongan emperikal waktu tidur bagi bayi pada masa sama, memberikan manfaat kepada ibu bapa seperti mewujudkan hubungan lebih kukuh dengan bayi, kurang tertekan, tidak terlalu letih dan lebih bertenaga.

Strategi tidur pada Anak
Tentukan waktu tidur dan masa rehat.
Masa tidur terbaik bayi adalah antara 7 petang dan 8.30 malam. Ibu boleh menetapkan waktu rehat bayi dengan cara sama. Rancang waktu khusus setiap hari.
Bentuk rutin waktu tidur.
Bayi terikat dengan cara konsisten. Dibuktikan secara klinikal waktu rutin bayi. Tiga langkah mudah untuk memperbaiki waktu tidur bayi:
  • Langkah 1: Mandi air suam;
  • Langkah 2: Urutan lembut;
  • Langkah 3: Tidur dengan senyap.
Rutin waktu tidur ini diakhiri dengan aktiviti senyap seperti membaca, mendengar muzik lembut dan membelai. Ini adalah cara terbaik untuk membentuk bayi tidur sementara kedua-duanya boleh menikmati detik ikatan hubungan yang lebih erat.
Objek sementara.
Dapatkan objek sementara seperti selimut dan alat permainan untuk membantu bayi rehat serta menenangkan dirinya.
Menidurkan ketika nampak mengantuk
Walaupun dia belum tidur, tetapi sudah mulai mengantuk, bawa dia ke biliknya. Ia boleh membantu anak mengaitkan rasa mengantuk dengan tidur. Menidurkan bayi ketika mula nampak mengantuk tetapi masih terjaga dan terawang-awang. Bayi masih belum nyenyak sepenuhnya. Tunggu sebentar sehingga pernafasan bayi sekata, ototnya rehat sepenuhnya. Genggaman tangannya terbuka, manakala kaki dan tangannya juga rehat serta ringan.
Bersabar ketika menidurkan dan Beri masa untuk dia bertenang.
Bayi dan kanak-kanak mengunakan lebih banyak masa untuk lena. Bayi kerap menggeliat dalam tidur mereka. Kadangkala ia menyebabkan kebisingan. Selain itu, dia mungkin merengus atau menangis sebelum bertemu posisi tidur yang selesa. Tunggu beberapa saat sebelum bertindak balas kerana kadangkala dia akan senyap dengan sendirinya.

Bagaimanapun, jika anda merasakan dia lapar atau terganggu dengan mimpi ngeri dan tangisannya tidak berhenti, bercakaplah dengannya secara tenang. Anda juga boleh membelai dan menepuk belakangnya. Dengan cara begitu, dia tahu anda ada di sisinya dan membantu untuk dia tidur.
Lakukan aktiviti ketika siang hari.
Apabila bayi jaga, lakukan aktiviti menyanyi, bermain atau bercakap-cakap dengannya. Biasakan dirinya dengan kebisingan rumah yang normal misalnya bunyi orang memasak, bunyi televisyen atau bunyi penyedut hampagas. Stimulasi sebegini pada waktu siang hari membantu tidur yang lebih baik pada waktu malam.
Pantau tidur siang (nap) anak anda.
Tidur sekejap pada waktu siang penting tetapi jika tidur terlalu lama pada waktu siang akan mengganggu pola tidur anak anda pada waktu malam.
Ikut rutin waktu tidur yang konsisten.
Sebelum tidur, mandikan dia, belai, menyanyi dan bacakan buku untuknya. Lama kelamaan bayi anda akan mengaitkan semua aktiviti itu dengan tidur. Namun, dalam sesetengah kes istimewa seperti jika terdapat majlis khas, elakkan daripada membiarkan anak tidur lewat terlalu kerap. Ini bagi mengelakkan pola aktiviti harian mereka terjejas.

Pertimbangkan untuk memberikannya puting.
Jika bayi anda sukar untuk tidur, puting mungkin boleh membantu. Malah, puting pada waktu tidur mengurangkan risiko sudden infant death syndrome (SIDS). Bagaimanapun, jika bayi menggunakan puting untuk membantunya tidur, dia mungkin akan menangis di tengah malam apabila puting terjatuh.

Pastikan malamnya sentiasa gelap.
Jika bayi perlu minum susu pada waktu malam, guna lampu yang suram cahaya. Suara anda juga harus perlahan. Ia membantu memberitahu bayi, masa itu adalah untuk tidur.
Cahaya mentari sebagai loceng
Cahaya mentari memainkan peranan yang penting untuk membetulkan pola harian tidur si anak. Pendedahan anak kepada sinar matahari sebaik sahaja dia terjaga dari tidur boleh memberinya petanda semulajadi bahawa hari sudah siang.
Persekitaran tidur selesa
Ini bermakna persekitaran tidur yang baik adalah dingin, gelap, senyap dan selesa. Pastikan juga si kecil tidur di atas tilam yang selesa dan memakai baju tidur yang tidak menganggunya sepanjang waktu tidur.

Persekitaran yang selamat
Periksa bilik tidur anak terlebih dahulu dan pastikan bilik tidurnya bebas daripada barangan yang bersepah sehingga menganggu keselesaan untuk tidur.

Makanan yang betul
Jika anda menghidangkan makanan berkarbohidrat kompleks bersama protein, anda sebenarnya memberi anak anda snek yang dibekalkan dengan 'kuasa' berpanjangan. Ini akan mengelakkannya daripada terjaga pada bila-bila masa. Berbeza dengan makanan kaya protein atau gula, tenaga yang diperoleh daripada makanan-makanan ini akan menyukarkan rutin tidurnya daripada berjalan lancar. Seperkara yang perlu diingati ialah perhatikan waktu pengambilan hidangan berat agar tidak terlalu dekat dengan waktu tidur.

Ajar anak cara tidurkan dirinya
Teruskan mendidik anak tentang kepentingan mempunyai rutin tidur yang menenangkan. Berikan juga tumpuan kepada kesan berkaitan tidur yang mungkin mempengaruhi tabiat tidur anak anda. Galakkan anak belajar menenangkan diri sekiranya terjaga pada waktu tengah malam. Kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak yang sudah bersekolah masih memerlukan bantuan ibu bapa untuk kembali kepada tidur setelah terjaga.

Aktiviti fizikal penggalak tidur
Wujudkan peluang untuk anak anda melakukan aktiviti fizikal pada siang hari agar dia dapat tidur lena pada sebelah malam. Berikan peluang kepada bayi anda untuk melakukan sedikit senaman ringan di atas lantai, misalnya merangkak.

Gangguan teknologi
Gajet seperti komputer mahupun televisyen boleh menganggu ketenteraman sebelum masuk tidur. Jadi, elakkan anak-anak terlalu terpengaruh kepada aktiviti gajet.
  • Peringatan : Begitupun, anda harus ingat ada sesetengah strategi ini tidak berkesan pada setiap waktu atau pada setiap anak, tetapi sekurang-kurangnya anda mencuba. Jika anda bertuah, anda dapat mengelakkan ‘kerahan tidur’.

Kesan Jika Tidur Anak Terganggu
Dalam sesetengah kes, bayi juga akan mengalami kesukaran tidur akibat penyakit seperti hidung tersumbat. Ibu bapa perlu peka dengan keadaan ini dan mengambil langkah sewajarnya untuk menangani masalah itu. Amat penting bagi bayi mempunyai pola tidur normal yang baik kerana jika tidak mencukupi:
  • Ia akan membawa kepada kelemahan pencapaian ketara, emosi dan masalah tingkah laku
  • Menjejaskan bayi itu secara fizikal, emosi, pembangunan sosial dan kognitif.
  • Paling membimbangkan, bayi yang tidak cukup tidur dengan baik kesannya akan timbul ketika remaja ataupun pada peringkat dewasa seperti penyakit vaskular, kencing manis, gangguan neurokognitif dan pertumbuhan.
  • Kesan gangguan tidur pada bayi juga menyebabkan masalah perkembangan dan psikologikal bayi pada masa akan datang serta meninggalkan kesan mendalam pada ibu dan juga keluarga.
  • Jika terganggu walaupun sekejap atau secara berterusan dan bertambah pada setiap malam mungkin boleh menjejaskan fungsi otak.
  • Tidak cukup tidur juga boleh membuatkan kanak-kanak cepat marah
  • Kanak-kanak juga boleh menjadi hiperaktif, kelihatan gelisah, kurang fokus, tidak bertenaga, tidak sabar dan bersikap mempertahankan diri (defensive).

Kesimpulan
Hakikatnya, ramai pakar kanak-kanak di Malaysia mendapati, ibu bapa Malaysia tidak begitu menyedari jika bayi mereka ada pola tidur normal yang sihat ataupun punca masalah tidur yang dihadapinya. Sehinggalah, masalah itu dikesan apabila anak memasuki taman asuhan dan tadika atau apabila kesihatan terancam.
Keperluan untuk membentuk kesedaran ini amat perlu. Ini berikutan, tidur elemen kesihatan yang sangat penting dalam kehidupan seseorang anak kecil bagi fungsi pertumbuhan dan perkembangan badan, sistem imunisasi, ingatan pembelajaran, kesihatan sistem kardiovaskular, fungsi hormon dan metablisma tubuh.

Sumber: http://ratuhati.com/index.php/Artikel/Anak-Tatih/Petua-Tidur-Si-Kecil-yang-Lena, http://www.susuibu.com Tidurlah...anakku sayangOleh: NOOR FAZRINA KAMAL , http://forum.anakku.net.my , http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Keluarga/20070315080927/Article/ , http://www.rehal-centre.com
Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)