Perkembangan bayi 4 bulan ke atas pantas

MEMERHATIKAN perkembangan dan kebolehan bayi berusia empat bulan ke atas memang menyeronokkan kerana dalam tempoh ini perubahannya memang pantas.

Hari demi hari ada saja kemajuan yang dicapainya dari segi pertumbuhan dan kebolehan fizikalnya.

Kiranya sebelum itu mereka masih belum mampu mengangkat kepala kerana leher masih lembut. Kini mereka sudah boleh mengawal leher dengan baik dan mampu mengangkat kepala buat jangka masa yang lebih panjang.

Menurut panduan perkembangan bayi yang dikeluarkan oleh Heinz Nutrition Consultancy, selepas empat bulan ada bayi yang sudah mula belajar menggolekkan badan dan berkebolehan mengikut arah sesuatu objek umpamanya jika diacah oleh ibunya.

Mereka juga sudah pandai mengenali ahli keluarga atau wajah-wajah yang selalu dilihatnya terutama sekali mereka yang sering mengasuhnya.

Dari segi kebolehan memegang sesuatu, bayi dalam usia ini telah mula pandai memegang permainan kecil yang diberikan pada tangannya. Suatu yang sering dilakukan mereka memasukkan apa saja yang dipegangnya ke mulut.

Berat badan juga telah menjangkau dua kali ganda daripada berat semasa dilahirkan.

Apabila bayi telah menjangkau usia lebih enam bulan pinggang mereka mulai kuat dan tegap. Mereka sudah boleh duduk tanpa dipegang.

Kebolehan bergerak juga meningkat, sudah boleh merangkak atau berjalan jatuh apabila usia lebih daripada sembilan bulan.

Ibu bapa mungkin seronok bermain dengan anak-anak pada peringkat ini kerana anak sedikit sebanyak sudah pandai meniru gaya orang lain dan sudah pandai menunjukkan perasaannya.

Berat badannya juga meningkat sebanyak 100 gm setiap minggu mulai enam bulan ke atas.

Kemampuan makan juga bertambah bagi meningkatkan tumbesarannya sehingga satu tempoh tertentu.

Biasanya, bayi mula tumbuh gigi apabila usia mereka menjangkau enam hingga tujuh bulan atau lebih daripada itu.

Pertumbuhan gigi ini akan disertai oleh demam dan ibu perlu tanganinya dengan memberikan ubat demam. Sebaiknya bawa anak berjumpa doktor bagi memastikan anak diberikan ubat yang bersesuaian.

Sebaik sahaja anak mencapai usia setahun dia telah mempunyai enam hingga lapan batang gigi.

Gigi gerahamnya yang pertama akan tumbuh apabila mencapai usia 12 hingga 15 bulan.

Gigi gerahamnya yang kedua pula akan tumbuh apabila berusia dua tahun.

Pemakanan yang sihat serta amalan menjaga gigi yang baik adalah digalakkan untuk mengelakkan kerosakan gigi.

Ketika ini ibu boleh menerapkan amalan kebersihan gigi yang baik ketika anak mempunyai gigi pertama lagi.

Sebaiknya bersihkan gusi bayi dengan kain lembut yang bersih yang dilembabkan terlebih dahulu.

Apabila bayi telah mempunyai 20 batang gigi, bolehlah mulakan membersihkan gigi anak dengan menggunakan berus gigi yang lembut dan juga ubat gigi yang sesuai tidak terlalu berangin kerana anak belum bersedia menggunakan ubat gigi yang demikian.

Bagi mengelakkan gigi daripada cepat rosak dan bertukar menjadi merah. Jangan membiasakan anak menghisap susu atau jus daripada botol susu sehingga terlena.

Sebaliknya beri mereka menghisap susu sehingga kenyang sebelum tidur dan kiranya mereka mahu menghisap susu juga ketika tidur isikan dengan air kosong.

Sumber dipetik dari : http://mforum2.cari.com.my/archiver/?tid-209317.html

Comments

Popular Posts