Joundis/ Penyakit Kuning

Anamarza
0
Alhamdulillah, hari ini bacaan joundis atau kuning anak keduaku (genap 21 hari umurnya) telah turun ke bacaan 4.1mg/dl dan jururawat mengatakan bahawa bacaan bawah daripada 5mg/dl dikira sudah tidak ada kuning.

Anakku dikesan joundise ketika berumur 4 hari (15hb Feb yg lalu) oleh jururawat yg datang membuat lawatan ke rumahku dan dia meminta aku pergi ke hospital untuk check darah anakku. Hasil daripada ujian darah menunjukkan bacaan 14+mg/dl dan ujian susulan pada 17hb menunjukkan bacaan yg serupa tiada peningkatan mahupun penurunan. Mungkin juga hasil daripada saya meminum air glukos (petua daripada internet) menyebabkan bacaan tidak menaik(waktu itu memang mencari petua untuk menurun kan kuning dan cara ini sahaja yg senang dan rasanya tidak salah mencuba). Disebabkan bacaan yg tiada perubahan dan masih dikira agak tinggi, jururawat meminta supaya check darah sekali lagi pada 19hb dan kali ini bacaan turun agak banyak menjadi 8.2mg/dl mungkin kesan daripada 3 kali mandi dengan herba singseh kot...)

Mungkin jugak ini bukanlah pengalaman pertama berhadapan dengan situasi ini, menyebabkan saya telah bersedia dari awal lagi, ini kerana anak pertama dulu pun kena joundis jgk. Tambahan pulak jururawat yg memeriksa sewaktu mengandung dulu telah mengingatkan bahawa kemungkinan anak kedua ini jgk akan mengalami joundis. Tah la katanya Ibu yg golongan darah jenis O positif berkemungkinan besar anaknya akan kena joundis. Jururawat tersebut tlh menasihatkan supaya sepanjang 2 minggu awal berpantang saya tidak boleh makan makanan yg dimasak dengan halia atau lada hitam, malah sebarang jenis jamu atau akar kayu juga patut dielakkan. Disamping itu jgk, ada orang tua2 mengatakan elakkan daripada memakai pakaian yg berwarna kuning baik bayi, ibu, orang sekeliling malah peralatan didalam rumah juga.

Pengalaman anak pertama dulu banyak membantu dalam menghadapi situasi sebegini buat kali kedua. Ketika itu, memang anak saya asyik tidur sahaja dan agak susah untuk dikejutkan, sekalipun mukanya disapu dengan air. Dia dikesan joundise agak lambat (sbbnya lambat beritahu klinik terdekat yg saya berpantang dikampung menyebabkan jururawat lambat datang melawat kerumah) iaitu setelah usianya masuk hari yg ke-6 dan pada masa itu bacaan nya mencecah 19+mg/dl dan terus dimasukkan kewad. Kesian anakku waktu itu hanya pakai pampers dengan matanya ditutup terpaksa duduk dibawah cahaya biru. Nasib baik hanya untuk 1 malam, dan keesokkannya bacaannya turun kepada 17+mg/dl dan 2 hari selepas itu semasa pemeriksaan susulan bacaannya turun lagi menjadi 12.9mg/dl ketika usianya 12hari. Pada waktu itu, saya hanya memberi susu badan sahaja dan tidak mencuba sebarang petua.

Artikel dibawah merupakan penerangan ringkas berkaitan joundis sebagai sedikit pengetahuan yang banyak membantu saya untuk lebih memahami apa itu joundis, jenis perawatan dan kesannya.

Apa itu Joundis

Jaundice berasal dari perkatan Perancis "jaune" yang bermakna kuning. Sel darah merah manusia yang terurai (kerana mati) menghasilkan partikel yang dipanggil bilirubin. Bilirubin ini adalah tidak larut air dan akan dihantar ke hati untuk diubah kepada menjadi larut air.Setelah itu sebahagiannya akan dikeluarkan menjadi air kencing. Sebahagiannya pula akan dibuang melaui najis melalui saluran hempedu

Lebih kurang 50% ke 60% bayi yang lahir cukup bulan mengalami demam kuning atau jaundis semasa minggu pertama hingga ke minggu kedua selepas lahir. Ianya kerap berlaku kepada bayi yang lahir tidak cukup bulan. Namun sebenarnya hampir semua bayi baru lahir mengalami jaundis tetapi tidak kelihatan dengan jelas. Pada setengah bayi, ia berlaku sekejap, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau hilang dengan rawatan yang ringkas sahaja. Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian.

Jaundis boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian mata putih dan kulit berwarna kekuningan. Kesan ini akan dapat dilihat dengan jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin menurun ke bahagaian bawah badan. Bayi jaudis juga akan kerap tidur.

penyebab jaundis

1. Sel darah merah bayi
Jaundis berlaku apabila sel darah merah dileraikan, ia menghasilkan bilirubin , bilirubin ialah pigmen berwarna kuning yg berkumpul di bawah kulit. Kadarnya yang tinggi menyebabkan kulit kelihatan kekuningan. Semua darah mengandungi bilirubin dan kebiasaannya akan diproses oleh hati dan disingkir melalui pembuangan najis dan air kencing.Ia mudah terurai dan jangka masa hayatnya adalah pendek. Bilangannya juga berlebihan daripada biasa. Oleh itu, penguraian sel darah bayi yang tinggi menyebabkan kadar bilirubin yang meningkat pada hari ke 3.

2. Hati Bayi
Hati bayi yang belum cukup matang juga menyukarkan proses penukaran bilirubin tak larut air kepada bilirubin yang larut air. Ketika bayi dalam kandungan ibu, proses ini dilakukan oleh hati ibu. Jadi apabila berada diluar, proses ini mula dilakukan oleh hatinya sendiri. Hati bayi yang belum matang mungkin tidak mampu memproses dan membuang bilirubin dengan pantas sepenuhnya beberapa hari selepas dilahirkan. Ini menyebabkan jaundis terjadi. Oleh itu, tidak hairanlah ramai bayi yang terkena kuning selepas 3 hari kelahiran.

Antara penyebab lain:
  • ~Trauma di kepala disebabkan oleh kelahiran secara forceps atau vaccum Jangkitan kuman di dalam darah (sepsis)
  • ~Jangkitan virus seperti Rubella atau Toxoplasma
  • ~Masalah Tidak Serasi dengan darah ibu (Coombs Positive) atau darah ibu dan bayi yang berlainan
  • ~Masalah dengan enzim darah merah (G6PD)
  • ~Hormon thyroid yang rendah (Hypothyroidism)
  • ~Masalah hati dan hempedu (biliary atresia, Dubin Johnson)
  • ~Bayi lahir pra matang
  • ~Mempunyai adik beradik yang menghidap jaundis
  • ~Mempunyai kesan lebam ketika lahir (sel-sel darah merah ini adalah sebahagian dari lebam yang diuraikan dan menjadi bilirubin sebahagian kumuhan)
  • ~Etnik Asia
  • ~Penggunaan oxytocin ketika proses kelahiran
  • ~Jaundice disebabkan oleh susu ibu (setelah semua penyebab di atas telah dikenalpasti negatif)

Biasa berlaku dari hari pertama ke hari ke 4 mengikut jenis jaundis. Kadarnya akan meningkat sehingga 12mg/dl dan boleh meningkat sehingga 15mg/dl. Jika meningkat sehingga 20mg/dl perlu pengawasan yang rapi dari doktor

Jenis-jenis jaundis

Adalah penting untuk mengenali jenis-jenis jaundis. Setiap jenis jaundis menyebabkan kesan dan mempunyai rawatan yang berbeza.

1. Jaundis Normal/Physiologic
Biasa terjadi kepada bayi baru lahir. Bayi yang kurang menyusu beberapa hari selepas dilahirkan dan tidak kerap membuang air besar juga mudah mendapat jaundis. Apabila bilirubin berkumpul di dalam najis bayi dan tidak dibuang, ia akan beredar kembali ke sistemnya. Kekerapan membuang najis dapat merendahkan tahap bilirubin.
Mula kelihatan selepas hari 2 - 4 hari selepas lahir dan biasanya hilang sendiri selepas 1 ke 2 minggu. Dengan penyusuan yang betul, jaundis akan hilang.

2. Jaudis Pathologic
Terjadi akibat keadaan perubatan seperti berlainan jenis darah(kerap berlaku), kelahiran pra matang, pembedahan caesarean, infeksi, kerosakan hati akibat rubella, siplis atau toxoplasmosis. Bagi bayi dan ibu dari jenis darah berlainan kerap berlaku bagi ibu berdarah jenis O atau Rh negatif. Ianya mula dikesan dari hari pertama kelahiran dan meningkat dengan mendadak. Masalah Rh juga pernah menyebabkan demam kuning yang teruk. Kini ia dapat dielakkan dengan suntikan imunisasi Rh pada ibu dalam tempoh 72 jam selepas kelahiran.

3.Jaudis Susu Ibu
Ini berkemungkinan dari susu ibu yang terhasil menyebabkan kelewatan atau memanjangkan tempoh membuangan lebihan bilirubin melalui usus. Ia bermula dari hari pertama ke minggu ke 2 dan hilang selepas 3 hingga beberapa minggu atau beberapa bulan kemudian. Walaupun mendapat susu yang mencukupi bayi masih mendapat jaundis. Jika kadar bilirubin meningkat, doktor anda mungkin menasihatkan untuk memberhentikan penyusuan badan selama 2 ke 3 hari. Dalam masa itu, anda bolehlah memerah susu bagi mengekalkan bekalan susu dan boleh meneruskan penyusuan apabila tahap bilirubin menurun.

Rawatan

Pemeriksaan akan dibuat dengan menekan kulit bayi atau mengambil darah bayi untuk mengukur tahap bilirubin bayi. Untuk memeriksa sendiri, bagi kulit bayi berkulit cerah, boleh diletakkan di tempat banyak cahaya atau lampu. Tekankan kulit secara lembut dengan jari anda di bahagian hidung, dahi atau dada, jika terdapat kesan kekuningan apabila jari diangkat bermakna bayi anda mengalami jaundis. Bagi bayi berkulit gelap, boleh periksa gusi atau mata putih. Jika tahapnya didapati tinggi, bayi perlu diberikan rawatan.

1. Pho
toterapi
Image
Phototherapy adalah kaedah yang paling berkesan abad ini untuk mengurangkan kekuningan bayi. Ia adalah sumber cahaya biru dengan jarak gelombang (wavelength) kira-kira 450 nm. Dengan kaedah ini, bilirubin merbahaya ditukarkan kepada bilirubin larut air untuk dinyahkan daripada badan.

Cara menggunakan phototherapy dengan berkesan :-

  • ~Letakkan sumber cahaya kira-kira 35 cm - 50 cm daripada bayi
  • ~Buka semua baju bayi kecuali lampin
  • ~Tutup matanya dengan penutup khas.
  • ~Lampu dibuka setiap masa 24 jam kecuali ketika mandi, minum susu, menukar lampin dan mengambil darah
  • ~Alih posisi bayi setiap 2-3 jam
  • ~Ada kajian menunjukkan terapi lampu boleh menyebabkan bayi kekurangan air maka memasukkan air melalui salur darah adalah satu kemestian.
  • ~Rawatan perlu diteruskan sehingga tahap biliribun turun.
  • ~Paras bilirubin hanya hanya boleh disukat dengan pemeriksaan darah sahaja kerana pemerhatian visual tidak tepat.
  • ~Risiko untuk peningkatan mendadak semula (rebound effect) boleh berlaku setelah rawatan lampu diberhentikan.
  • ~Kini rawatan ini boleh dilakukan dirumah menggunakan Home phototherapy
2. Penukaran darah (Exchange Transfusion -ET)
ET dilakukan sekiranya rawatan lampu tidak berjaya mengurangkan paras bilirubin dan
akan dilakukan apabila paras bilirubin tak berkonjugat dalam darah terlampau tinggi, iaitu melebihi 340mmol/L. ET ialah satu rawatan di mana darah bayi dikeluarkan secara perlahan-lahan oleh doktor secara manual melalui satu prosedur ringkas dan diganti dengan darah baru yang diambil dari bank darah.

Proses ini memakan masa sehingga 5-6 jam.
Doktor akan mengeluarkan darah bayi dengan perlahan-lahan melalui satu tiub yang dipasang di saluran darah di pusatnya (tali pusat masih baru lagi) dan memasukkan darah baru juga secara perlahan-lahan.

Bayi yang mempunyai paras bilirubin terlampau tinggi atau menerima rawatan penukaran darah perlu mendapat pemeriksaan susulan untuk pemeriksaan perkembangan dan ujian pendengaran.

Berikut disenaraikan langkah yang boleh dibuat untuk mengelak atau merawatnya:

  • ~Menyusukan bayi dari awal dan dengan kerapnya. Kolostrum akan bertindak sebagai laxative dan kekerapan membuang najis akan merendahkan tahap bilirubin. Perhatikan pengeluaran air kencing dan najis.
  • ~Elakan mengambil air tambahan. Hanya 2% bilirubin keluar melalui air kencing dan 98% keluar melalui najis. Kolostrum dan susu yang mengandungi lemak akan menstimulasikan pergerakan membuang air besar. Jika bayi anda kenyang dengan air dia akan kurang menyusu.
  • ~Galakan bayi anda berjaga dan menyusu setiap 2 jam. Jaundis menyebabkan bayi anda mengantuk.
  • ~Jika bayi anda tertidur ketika menyusu badan dan membuang air besar kurang dari 3 kali sehari, cuba perah susu anda menggunakan tangan atau pam. Dan berikan menggunakan cawan, sudu atau syringe. Jangan menggunakan botol kerana bayi anda akan keliru dengan puting getah ketika peringkat ini.
  • ~Dedahkan kepada cahaya secara tidak terus. Buka pakaian dan diaper dan letak di dalam bilik yang terdapat banyak cahaya. Kulitnya adalah sensitif jangan diletakan secara terus kepada cahaya.
  • ~Elakan ubatan seperti aspirin dan dadah sulfa. Pastikan doktor anda tahu dadah yang anda ambil, jadi anda boleh hentikan atau mencari penganti yang lain jika ubat adalah penyebabnya
  • ~Elakkan daripada menjemur dibawah cahaya matahari. Berapa lama bayi boleh dijemur di bawah matahari? Bayi hanya boleh dijemur pada waktu pagi. Antara sebab kekuningan bayi meningkat ialah dehydrasi iaitu bayi kekurangan air. Sinar matahari boleh menjadikan dehydrasi bertambah teruk kerana suhunya itu.
  • ~Elakkan daripada memberi bayi minum susu kambing. Susu ibu lebih berpotensi menjadi ubat kepada penyakit kuning kerana ia makanan sempurna kepada bayi tetapi, susu kambing mempunyai zat-zat galian yang lebih tinggi yang tidak sesuai dengan tumbesaran bayi. Memberi susu kambing mentah (belum dipasteurkan, dinyahkuman atau dimasak) yang tidak pasti status kebersihannya mengundang bahaya kepada bayi.
    Adakah ianya merbahaya?

    Kebanyakan kes jaundis tidak merbahaya. Namun jika tahapnya adalah tinggi dan dibiarkan tanpa rawatan ia akan menyebabkan kerosakan kekal ke atas sistem saraf. Ia boleh menyebabkan pekak dan pertumbuhan yang lembab dan membentuk cerebral palsy. Jika bayi anda mendapat jaundis dalam masa 24 jam selepas lahir, ini dianggap serius dan perlu pemerhatian rapi dan rawatan. Ia boleh disebabkan oleh masalah yang serius pada hati, usus kecil dan kelainan intestinal, infeksi atau kelahiran yang trauma atau kelahiran pra matang sebelum 28 minggu. Serum bilirubin yang berlebihan menyebabkan kernicterus adalah satu fenomena dimana bilirubin yang tidak larut tadi menembusi lapisan otak bayi yang kurang matang. Autopsi menunjukkan otak bayi yang meninggal dunia disebabkan kernicterus berwarna kuning!Kernicterus dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi. Sekiranya selamat pun akan menyebabkan bayi menjadi lumpuh, pekak atau buta

    Rujukan : www.mybengkung.com "Demam Kuning/Jaundis Pada Bayi" www.dbmhospital.com "Jaundis Neonatal (penyakit kuning bayi juga disebut demam kuning)" drazwan.blogspot.com "NEONATAL JAUNDICE DAN PERAWATANNYA" Ratuhati.com "NEONATAL JAUNDICE DAN PERAWATANNYA"

    Tags

    Post a Comment

    0Comments

    Post a Comment (0)